Malaysia kutuk kezaliman Israel
Oleh S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2010/06/01
Israel bunuh aktivis misi Gaza: Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.
“Ini menunjukkan kerakusan rejim Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa sesuka hati tanpa pertimbangan sama ada tindakan yang dilakukan boleh menyebabkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.
“Oleh itu, seluruh dunia patut kutuk dan kecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel. Saya berharap insiden ini akan membawa kepada satu bentuk tindakan atau sekatan yang boleh dikenakan terhadap kerajaan Israel.
“Mungkin sesuatu harus dilakukan atau dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan PBB dalam masa terdekat,” katanya selepas perasmian Malam Amal Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.
Perdana Menteri juga berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut mengenai keadaan rakyat Malaysia yang berada atas kapal yang diserang oleh tentera Israel itu.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata Malaysia mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kejadian serangan rejim Israel terhadap kapal Turki Mavi Marmara yang membawa aktivis misi kemanusiaan ke Gaza termasuk 11 rakyat negara ini.
Katanya, serangan di perairan antarabangsa menggambarkan rejim haram Israel tidak menghormati langsung undang-undang antara-bangsa.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap kapal Mavi Marmara itu yang membawa keperluan asas seperti makanan, perubatan dan bahan binaan bagi keperluan rakyat Palestin