Keanehan-keanehan Tukang Azan Syekh Syihabuddin Muhammad bin Ahmad di dalam kitabnya “Al-Mustatraf” menceritakan tentang peristiwa-peristiwa tukang azan, di antaranya:
( i )
Seorang muazzin telah ditegur kerana azannya terlalu perlahan: “Kami tidak mendengar suara azanmu, kuatkanlah sedikit.”
“Aku dapat mendengarkan suaraku dari jarak satu batu.” jawab si Muazzin.*
( ii )
Seseorang berkata bahawa dia melihat muazzin melaungkan azan, kemudian keluar dari masjid dan lari seperti mengejar sesuatu.
“Hendak kemana engkau?” tanya orang.
“Aku ingin mendengarkan azanku sampai kemana gemanya.” *
( iii )
Diceritakan pula bahawa ada dua orang lelaki telah bersengketa pasal seorang jariah. Kerana tidak ada yang mahu mengalah, kedua-duanya sepakat menumpangkan jariah itu kepada seorang muazzin. Pada sebelah pagi setelah berazan, tiba-tiba muazzin itu berkata: “La ilaha illallah....telah hilang rasa kepercayaan dari manusia.”
“Bagaimana rasa kepercayaan boleh hilang dari manusia?” tanya mereka.
“Ini buktinya.” kata tukang azan itu sambil menunjuk kepada jariah yang ditumpangkan kepadanya. “Jariah ini ditinggalkan kepadaku. Kata yang menumpangkannya dia masih perawan. Tapi setelah aku menggaulinya, ternyata dia sudah janda.”*
( iv )
Dikota Humas ada seorang tukang azan yang memekik-memekik pada pagi Ramadhan: “Bersahurlah kalian! Aku sudah menyuruhmu. Cepatlah makan, sebelum saya berazan. Allah akan menghitamkan mukamu.” *
Seorang berazan sambil melihat lafaz-lafaz azan yang ditulis pada sehelai kertas.
“Engkau tidak hafal azan?” tanya mereka.
“Jangan tanya kepada saya, tapi pergilah kepada Kadi.” jawab Muazzin itu.
Mereka pun pergi ke rumah Kadi dan mengucapkan: “Assalamualaikum, wahai tuan Kadi.”
Kadi tidak segera menjawab, tapi masih mengeluarkan sehelai kertas lalu dibacanya: “Wa alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh.”
Maka orang-orang surau itu pun datang kepada si Muazzin dan meminta maaf setelah mengetahui bahawa kadinya juga tidak hafal Assalamualaikum...” *
( v )
Seorang perempuan mendengar muazzin melaungkan azan Subuh setelah terbit matahari. Ketika sampai pada “Asshalatu khairum minannaum (Solat itu lebih baik daripada tidur), perempuan itu menjawab: “Tidur lebih baik daripada solat seperti sekarang ini.”
Keanehan-keanehan Peminta Sedekah Syekh Syihabuddin Muhammad bin Ahmad menceritakan pula tentang kisah-kisah para peminta sedekah yang sampai kepada beliau.
( i )
Di antaranya kisah seorang peminta sedekah yang datang ke sebuah rumah, lalu berseru: “Wahai tuan yang empunya rumah...” Belum sempat dia meneruskan perkataannya, tuan rumah telah bangun meninggalkannya sambil berkata: “Semoga Allah melapangkan engkau.”
“Wahai tuan rumah! Alangkah baiknya kalau engkau mendengarkan apa yang akan kukatakan terlebih dahulu. Barangkali aku datang untuk menjemputmu ke majlis kenduri kahwin.” kata si peminta sedekah. *
( ii )
Diceritakan pula bahawa seorang peminta sedekah berdiri di hadapan pintu sebuah rumah kerana mengharapkan sesuatu.
“Semoga Allah melapangkan engkau. Kami tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada engkau.” kata tuan rumah.
“Sisa-sisa makanan pun jadi.” kata si pengemis.
“Kami tidak punya.” kata tuan rumah.
“Sedikit gandum atau syair pun jadilah tuan.”
“Kami tidak punya.”
“Secawan susu atau zait?” kata si pengemis.
“Kami tidak punya.”
“Kalau begitu, berilah saya sedikit air suam saja.”
“Kami tidak punya apa-apa.”
“Kalau begitu, apa yang engkau buat di dalam rumah ini? Pergilah keluar mengemis. Kalian lebih patut menjadi peminta sedekah daripada saya.” kata si pengemis lalu pergi. *
( iii )
Syekh Syihabuddin menceritakan pula bahawa seorang pengemis telah berseru di hadapan sebuah rumah: “Tuan, kami lapar, berilah sesuap makanan.”
“Engkau berbohong.” kata tuan rumah.
“Betul tuan. Kalau tidak percaya, tuan boleh cuba aku dengan dua kati roti dan dua kati daging. Nescaya ia akan habis sebagai tanda bahawa kami betul-betul lapar.” kata si pengemis....